Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, kesemua krew kapal tersebut dibantu pekerja pelantar minyak selepas kapal kargo dinaiki mereka karam akibat dibadai ombak setinggi hingga lima meter.

Dalam insiden itu, kapten kapal, Chumpon Kongphet, 31, bersama krewnya, Bunrod Talalak, 65; Adul Jampa, 38; Bordin Chantana, 43 dan Hongvengjun, 32, dalam pelayaran dari Songkla iaitu kawasan pantai timur Thailand menuju ke Ranong, Phuket yang terletak di pantai barat negara tersebut untuk membaikpulih kapal berkenaan.

Chumpon berkata, kapal kargo yang diperbuat daripada kayu itu pecah selepas dipukul ombak ekoran cuaca buruk.

"Lepas bot pecah, kapal kami karam dan jaket keselamatan ibarat menjadi penyambung nyawa kami.

"Kami hanyut agak lama sebelum ternampak pelantar minyak. Dengan sisa tenaga yang ada, kami berenang ke arah pelantar itu dan berpaut pada tiang," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. 

Kesemua mangsa tersebut kemudiannya diselamatkan oleh krew pelantar minyak berkenaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Timur. - K! ONLINE