Serbuan dibuat kira-kira pukul 6.30 petang itu adalah hasil maklumat awam selepas pihak polis mengesyaki rumah terbabit dijadikan tempat pemprosesan air ketum oleh kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidek berkata , operasi yang diketuai Ketua Balai Polis Kota Bharu, Asisten Superintendan,  Hasbullah Nor bersama 30 anggota bertindak menyerbu rumah sewa tersebut selepas 10 minit risikan dilakukan.

“Ketika serbuan dilakukan , kesemua suspek sedang leka memproses daun ketum yang dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah mendapati terdapat 24 kilogram (kg) daun ketum yang masih belum diproses manakala empat periuk besar mengandungi 12kg daun ketum sedang dimasak bagi menghasilkan 25 bungkus air ketum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, suspek memproses daun ketum hanya seminggu sekali di rumah yang disewa RM250 sebulan selain mampu memperoleh keuntungan sehingga RM2,000 dalam tempoh seminggu.

“Polis turut menemui saki baki botol ubat batuk yang dipercayai dicampur ke dalam air rebusan ketum.Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah pelbagai alatan memproses daun ketum,” katanya.

Beliau berkata, daun ketum yang telah siap diproses akan dijual pada harga RM10 sebungkus untuk pasaran tempatan. 

Jelasnya, salah seorang suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - K! ONLINE