Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di 12 buah kilang memproses makanan dengan melibatkan seramai 24 orang anggota dan pegawai.

Jelasnya, daripada jumlah 12 kilang yang diperiksa, lima buah premis didapati tidak menjalankan pengendalian memproses makanan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Selepas menjalankan pemeriksaan, kita dapati premis ini kotor, penyimpanan bekalan makanan tidak mengikut peraturan dan penyediaan makanan yang tidak teratur.

"Kelima-lima premis ini telah diperintah tutup selama 14 hari dan pemilik kilang itu juga dikehendaki hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan," katanya pada sidang akhbar selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang roti di Kawasan Perindustrian Pengkalan di sini hari ini.

Menurut Sivanesan, perintah penutupan kelima-lima premis itu dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula hari ini hingga 28 Ogos depan.

Jelasnya, penutupan kelima-lima premis itu bukan berniat untuk menghukum pemiliknya namun, ia dilakukan demi keselamatan orang awam.

Tambahnya, sepanjang premis itu ditutup, pemilik boleh menambah baik kilang mereka dan boleh beroperasi seperti biasa selepas Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan pemeriksaan dan berpuas hati dengan tahap kebersihan.

Dalam pada itu, ujar Sivanesan, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengeluarkan tiga notis kegagalan tanggungjawab daripada pengusaha kilang kepada pemilik premis.

"Tiga notis itu dikeluarkan kepada tiga pemilik kilang makanan selepas mendapati ada pekerja mereka tidak menghadiri latihan kursus pengendalian makanan dan serangan makhluk perosak," katanya. - K! ONLINE