Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Azizan Noordin berkata, PATA yang bertaraf antarabangsa memberi kesan positif dan berupaya melonjak industri pelancongan tempatan.

"Pendapatan Langkawi hasil pelancongan pada 2020 pula dijangka mencecah RM9 bilion," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Istana Arau di sini, hari ini.

Beliau mengetuai delegasi 38 orang eksekutif kanan syarikat pelancongan dari 25 negara yang berkunjung ke Perlis.

Ketibaan mereka di Istana Arau disambut oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 1,400 delegasi dari 70 negara yang menyertai PATA Travel Mart di Langkawi pada 12 hingga 14 September lepas.

Azizan berkata, Lada menjangkakan empat juta pelancong mengunjungi pulau bebas cukai itu pada tahun ini setelah berjaya merekodkan kedatangan hampir 3.7 juta orang pada tahun lepas.

"Pembesaran prasarana LTAL yang siap 1 September lepas dapat menampung kehadiran sebanyak empat juta pelancong berbanding 1.3 juta sahaja sebelum ini, dan memenuhi 232 penerbangan ke Langkawi dalam seminggu dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura dan China pada masa ini.

"Rundingan dengan pihak berkuasa India dan beberapa negara di Asia Timur untuk mengadakan penerbangan terus dari negara berkenaan ke Langkawi pula masih berjalan," katanya.

Dari segi tempat penginapan, beliau berkata, sebanyak 247 hotel di Langkawi yang menawarkan 11,829 bilik, selain enam inap desa yang diiktiraf Lada, cukup untuk memenuhi keperluan pelancong untuk tempoh beberapa tahun lagi. - Bernama