Kejadian berlaku pukul 11.30 malam, ketika suspek bersama isteri dan tiga rakan mereka berusia 23 hingga 34 tahun dalam keadaan mabuk bertengkar mulut dengan sekumpulan pelanggan di restoran tersebut.

Isteri dan tiga rakannya juga merupakan ahli daripada kumpulan sama. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sewaktu kejadian kumpulan suspek itu didapati sedang meminum arak di bahagian luar restoran tersebut. 

Katanya, keadaan itu mengakibatkan sekumpulan pelanggan menegur sebelum berlaku perselisihan faham dan pertengkaran mulut namun tiada berlakunya sebarang kecederaan.

Difahamkan kumpulan pelanggan itu mengenali kumpulan suspek. 

"Seorang suspek berusia 34 tahun dalam keadaan pengaruh alkohol kemudiannya telah mengambil sepucuk pistol semi auto jenis Cz Compact buatan Republik Czech dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang berisi peluru hidup. 

"Sejurus itu, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke udara dipercayai sebagai amaran," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, bertindak atas maklumat itu polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Putra Height, Subang Jaya pukul 11 malam keesokannya dan menahan suspek utama dan isterinya. 

Baharudin menambah, hasil pemeriksaan menemui pistol dan di dalamnya berisi dua butir peluru digunakan suspek yang disimpan di dalam sebuah beg diletakkan dalam Nissan Frontier itu yang didakwa milik bapa mertuanya. 

"Kita turut menemui 22 lagi butir peluru hidup berukuran 9milimeter disimpan dalam plastik di atas meja makan ruang tamu rumah itu. 

"Soal-siasat terhadap suspek kemudiannya menahan tiga lagi rakannya di kawasan berdekatan," katanya. 

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu membeli pistol itu dengan harga RM3,000 dari selatan Thailand. 

"Mereka sebelum ini yang bergiat aktif di Kuala Lumpur cuba melebarkan pengaruh mereka di Selangor. 

"Geng Double Seven ini kebiasaanya terlibat dalam aktiviti tarik kereta, wang perlindungan dan samun serta rompakan mendatang kecederaan," katanya. 

Baharudin menegaskan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - K! ONLINE