Dua tertuduh tersebut, Yong Hai Woon, 42, dan Er Boon Hock, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mereka didakwa bersama-sama dengan pengetahuan memiliki sepucuk pistol berwarna hitam jenama CZ 2075 Rami dan 100 butir peluru hidup di sebuah rumah kedai beralamat 65 A, Jalan Pekan Lama di sini kira-kira pukul 10 malam pada 22 Ogos lalu.

Bagi kesalahan memiliki pistol mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan minimum enam kali sebatan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali bagi pertuduhan memiliki peluru.

Di Mahkamah Majistret, Hai Woon dan Boon Hock turut didakwa bersama-sama Mohd. Arzmi Amran, 38; Yap Gee Hong, 61, dan Poh Kuan Fatt, 37, atas empat pertuduhan di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu dua balutan plastik lutsinar dan lima paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 133.6 gram (g), memiliki 80 biji pil ekstasi seberat 16g, syabu seberat 6.6g dan memiliki 22 biji pil kuda seberat 2.2 g.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengedar dadah.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan.

Bagi tiga lagi kesalahan mereka didakwa mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail.

Mereka tidak ditawarkan sebarang jaminan dan mahkamah menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - K! ONLINE