Beliau berkata, lima barangan tersebut ialah beras, tepung, gas memasak, minyak masak dan gula yang merupakan keperluan asas digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberitahu bahawa harga barang ini tidak boleh dinaikkan kerana ini untuk kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas program Jualan Sentuhan  Rakyat (JSR) di Felda Lubuk Merbau dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidkan yang juga Anggota Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid. 

Dalam pada itu beliau berkata JSR, satu inisiatif yang membantu rakyat menangani kos sara hidup dianjurkan pihaknya, sudah berjaya memberi manfaat kepada empat juta rakyat di seluruh negara.

Setakat ini, pihaknya sudah menganjurkan 700 program JSR sejak dua bulan lepas membabitkan nilai jualan sebanyak RM35 juta, katanya.

"Program ini mampu membantu rakyat kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran dan ia akan diteruskan selepas ini sekiranya kita masih lagi  menjadi kerajaan," katanya. 

Hamzah berkata program tersebut sebenarnya sudah dirancang sejak dua tahun lepas sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penganjurannya bertujuan untuk memancing undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

"Saya baru jadi menteri dua tahun, jadi program ini makan masa (perancangan) kerana kita nak tentukan barangan ini mencukupi, kita tidak mahu bila buat sesuatu (program) barangan tidak cukup nanti rakyat cakap kita buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga," katanya. 

Antara barangan dijual hari ini ialah pek milo pada harga RM10 berbanding RM16 di pasaran,  daging lembu yang dijual RM10 sekilogram (RM25 sekilogram di pasaran) dan beras RM10 bagi 10 kilogram (RM26 di pasaran) selain bawang, minyak masak dan gula yang masing-masing dijual pada harga RM1 sekilogram. - Bernama