Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi dilakukan oleh Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas, JKDNKA Bukit Aman susulan maklumat awam yang diterima.

"Melalui operasi yang digelar Op Asap itu, seramai lima warga tempatan berusia dalam lingkungan 29 hingga 57 tahun telah ditahan kerana dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran rokok seludup di sekitar Lembah Klang dan semakan yang dilakukan mendapati dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau.

"Sejumlah 2,710 karton rokok seludup pelbagai jenama juga telah dirampas bersama wang tunai RM49,040 dan dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux serta Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Acryl Sani, turut dirampas adalah sebanyak 87 keping pelekat duti kastam yang dipercayai palsu dan pihaknya menganggarkan nilai rampasan rokok selepas ditaksirkan cukai adalah berjumlah RM400,000.

"Nilai keseluruhan rampasan menerusi operasi ini dianggarkan mencecah kira-kira RM594,040 dan kesemua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan selama tujuh hari hingga 23 Julai depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," tegas beliau. - K! ONLINE