Mahathir dan delegasi dibawa menaiki KD Perantau, milik Tentera Laut Diraja Malaysia selama sejam setengah sambil menerima tabik hormat daripada kru kesemua kapal tersebut di sekitar Resorts World Langkawi di sini pada pameran yang memasuki hari kedua hari ini.

Antara barisan delegasi kerajaan persekutuan dan negeri adalah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kesemua mereka diberi penghormatan melihat sendiri kehebatan dan kecanggihan kapal-kapal tersebut antaranya adalah 17 kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, lima kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), MV Polaris dari Jabatan Marin, RV Discovery dari Universiti Malaysia Terengganu dan 16 kapal dari 12 buah negara yang terlibat dalam acara ini.

Pada edisi ke-15 ini menyaksikan LIMA menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan dan komersial dengan 200 perniagaan antarabangsa. - Bernama