Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehubungan dengan itu Kabinet bersetuju untuk melanjutkan tempoh PKPS fasa pertama dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan sehingga 30 Jun depan.

Jelasnya, pada fasa kedua PKPS, kadar penalti 15 peratus dikenakan daripada amaun cukai dan akan bermula pada 1 Julai hingga 30 September.

“Mulai 1 Oktober ini, kadar penalti daripada 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.

“PKPS memberikan fokus utama kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar negara serta mempunyai pendapatan yang dijana dari dalam Malaysia tetapi masih belum melaporkannya kepada LHDN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, kerajaan juga mengalu-alukan pembayar cukai tempatan yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam negara dan masih belum dilaporkan sekiranya ada.

Jelasnya, dengan pelanjutan tempoh yang diberikan, kerajaaan berharap lebih ramai pembayar cukai akan menyertai PKPS bagi membolehkan mereka menikmati kadar penalti yang rendah dan seterusnya dapat mengurangkan bebanan cukai mereka.

“Pengakuan sukarela bagi pembayar cukai kategori individu boleh dibuat sehingga pendapatan tahun berakhir 31 Disember 2017 manakala bagi pembayar cukai kategori syarikat pula pengakuan sukarela boleh dibuat bagi pendapatan sehingga tempoh perakaunan 31 Mac tahun lalu.

“LHDN juga akan mengeluarkan surat pengesahan bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima. Surat kesahihan pelaporan cukai secara sukarela adalah teratur akan diberikan setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai PKPS, sila kunjungi pejabat LHDN berhampiran, hubungi talian 1-800-88-5436 atau 03-7713 6666 atau e-mel pertanyaan kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my. - K! ONLINE