Katanya, setakat ini disahkan kejadian pukul 3.30 petang itu menyebabkan tiga maut dan 44 cedera.

"Bagi tiga yang meninggal dunia, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak hospital telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat mereka dan laporan dua mangsa sudah selesai manakala satu lagi masih berjalan," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pihaknya membawa anjing pengesan ke tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa tertimbus.

"Selain itu, kita juga telah mengambil sampel gas berkenaan untuk pemeriksaan di makmal bagi mengenal pasti punca letupan," katanya.

Beliau turut berkata, maklumat yang viral mendakwa ada keretakan pada dinding di tingkat atas kompleks beli-belah berkenaan selepas kejadian letupan itu adalah palsu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negeri, Dr. Nor Halim Hasan pula berkata, pihaknya akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada pihak terlibat mematuhi peraturan. - Bernama