Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian itu terkawal sepenuhnya dan tiada insiden susulan berlaku.

"Kesemua 84 laporan itu dilakukan di Balai Polis Sungai Rengit dan Balai Polis Pengerang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahsmon dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam insiden kebakaran dan letupan yang berlaku pada kira-kira 1.20 pagi itu, dua warga tempatan cedera dan dipercayai lebih 10 buah rumah rosak di Kampung Lepau, berhampiran Pengerang. - Bernama