Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya akan menggesa Petronas mengadakan dialog itu secepat mungkin dengan penduduk terutamanya Kampung Lepau dan Rengit Jaya yang bimbang dengan status kediaman mereka ketika ini.

"Saya sudah bincang dengan Petronas, dialog ini mesti ada wakil dari pihak kerajaan seperti Pegawai Daerah, Pejabat Tanah dan lain-lain agensi berkaitan sebab kita semua perlu tahu apa yang mereka bincangkan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri penutup Karnival Pendidikan Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.

Puah berkata, waktu dan tempat untuk mengadakan sesi dialog tersebut akan diberitahu kemudian selepas punca insiden letupan itu diketahui.

Beliau berkata difahamkan kejadian letupan itu berlaku disebabkan oleh masalah saliran yang mempunyai radiasi sulfur dan tiada kaitan dengan tangki minyak. - Bernama