Majistret Mohamad Fared Abd. Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap V. Indran dan S. Pubalan, kedua-duanya berusia 25 tahun, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Majistret menjatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 1 Februari lalu. 

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah bersama-sama menyebabkan kecederaan kepada N. Murugan, 58, D. Ranjeet, 37, R. Savinthra, 11, dan S. Vasatha, 55, (satu mangsa bersamaan satu pertuduhan) dengan cara membakar mercun secara gopoh atau cuai yang membahayakan nyawa manusia dan keselamatan orang lain.

Keempat-empat pertuduhan itu yang tertakluk di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan, didakwa dilakukan di hadapan restoran Vetrivel, Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil pada pukul 8.29 malam, 1 Februari lalu. - Bernama