Penasihatnya Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya menggesa agar kementerian lebih telus dan bersikap adil memandangkan pemandu teksi sebelum ini perlu melalui proses secara 'manual' bagi mendapatkan lesen itu. 

"Keputusan MoT berkaitan lesen PSV secara dalam talian ini amat mencabar industri teksi tanah air malah dilihat berat sebelah kerana mahu menyenangkan pihak Grab semata-mata," katanya pada sidang media mengenai isu lesen PSV secara  talian di sini, hari ini. 

Jelasnya, Big Blue Taxi sendiri walaupun ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengendalikan pusat latihan pemandu lesen PSV, tetapi mesti dijalankan secara manual termasuk mempunyai kelas. 

"Kita nampak kebaikan pengambilan lesen PSV ini secara talian kerana mampu mengurangkan kos tetapi banyak perkara lain yang perlu diperhalusi. Paling utama, bagaimana kita boleh memastikan ujian itu diambil oleh pemandu e-hailing yang sebenarnya.

"Malah, kami juga mendapat aduan ada kalangan pemandu e-hailing yang tidak tahu Bahasa Malaysia dengan baik dan bagaimana mereka mampu mengambil ujian ini secara dalam talian?" katanya. 

Tambah Shamsubahrin, sekiranya kementerian tidak berhasrat menukar semula kepada perjanjian asal iaitu tiada pengambilan lesen PSV secara dalam talian MoT dicadangkan agar menghapuskan sahaja permit teksi dan membenarkan semua kereta persendirian dijadikan kenderaan e-hailing. - Bernama