Kedua-dua pesalah berusia 32 dan 22 tahun tersebut menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Hakim Kanan Syarie negeri, Rosdi Haru mengikut Seksyen 59(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Hukuman sebat bermula de­ngan pesalah pertama berusia 32 tahun pada pukul 10.10 pagi manakala pesalah kedua menjalaninya pada pukul 10.16 pagi. Hukuman itu dilaksanakan secara berasingan oleh dua tukang sebat wanita daripada Jabatan Penjara Kajang dalam tempoh kira-kira seminit.

Pesalah kedua yang bertubuh kecil menitiskan air mata sewaktu dirotan manakala pesalah pertama berusia 32 tahun pula kelihatan muram selepas menjalani hukuman terbabit.

Seramai hampir 100 individu berada dalam galeri awam untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman itu. Kesemua mereka turut melalui prosedur ketat terma­suk perlu menyerahkan telefon pintar masing-masing kepada pengawal keselamatan Jabatan Kehakiman Syariat Terengganu sebelum masuk ke galeri awam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.