Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 34 tahun itu dihubungi Sarjan Salina pada 20 Jun lalu.

Mohd. Wazir berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan ingin menyiasat mangsa yang didakwa terlibat kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek juga mengatakan mangsa turut disiasat berkaitan kes dadah dan memiliki RM2 juta dalam akaun sebuah bank yang diperoleh melalui kegiatan pengubahan wang haram.

"Talian telefon disambungkan pula kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Inspektor Fazura yang memaklumkan kes tersebut telah dibawa ke mahkamah," katanya.

Tambah beliau lagi, Inspektor Fazura mendakwa telah menemui hakim bagi kes tersebut dan meminta mangsa membayar wang jaminan untuk mengelak daripada ditangkap oleh pihak polis.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang RM95,000 ke dalam tiga akaun milik individu berbeza melalui sembilan transaksi seperti diarahkan," ujar Mohd. Wazir melalui kenyataan hari ini.

Mangsa menyedari ditipu selepas memindahkan wang tersebut serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE