Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 29 tahun itu berurusan dengan ejen wanita berkenaan sejak Jun lalu.

"Mangsa membeli lima tiket penerbangan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke London, United Kingdom untuk tarikh 13 hingga 23 Oktober depan.

"Pada 13 dan 25 Jun lalu, mangsa memasukkan wang pembelian tiket penerbangan ke dalam akaun syarikat pelancongan tersebut melalui tiga transaksi," katanya.

Mohd. Wazir menambah, ejen wanita berkenaan kemudian menyerahkan tangkap layar dari skrin komputer yang menunjukkan tempahan tiket telah dibuat sejurus bayaran tersebut diterima.

"Bagaimanapun, mangsa membuat semakan dengan Emirates Airlines dan mendapati tiada pembelian tiket yang dibuat ke atas nama pengadu dan ahli keluarganya.

"Mangsa telah menghubungi ejen wanita berkenaan namun pelbagai alasan diberi," tambah beliau menerusi kenyataan hari ini.

Lelaki berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE