Pengarah Operasi Makkah, Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata, kedua-dua barangan penting yang juga bertindak sebagai pengenalan diri ini harus dijaga dan dibawa ke mana-mana sahaja oleh jemaah sepanjang mereka mengerjakan haji kerana ia adalah pengganti kepada passport mereka.

"Jemaah haji perlu menganggap kedua-dua barang ini sebagai dokumen yang sangat penting dan dijaga sebaik mungkin bagi mengelakkan ia tercicir atau hilang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sepanjang berada di Tanah Suci, beliau berkata, lencana serta gelang pengenalan diri itu digunakan sebagai pengenalan diri kerana passport jemaah akan dipegang pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya, pada kedua-dua barangan tersebut terdapat butiran peribadi jemaah bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan atau orang luar memberi bantuan sekiranya mereka ditimpa masalah dan gagal menghubungi petugas TH. - Bernama