Seorang penternak, Abdul Hakki Che Ahmad, 35, berkata, kebanyakan masyarkat di sekitar Kuala Lumpur menjadikan spesis tersebut sebagai pilihan untuk upacara berkenaan.

Menurutnya, ia menjadi pilihan disebabkan oleh dagingnya yang lembut selain rasanya enak ketika dimasak.

"Lembu baka ini mampu mencapai berat sekitar 800 kilogram (kg) dan sebab itu jugalah ia menjadi pilihan walaupun harganya mencecah RM15,000 seekor.

"Selain American Brahman, spesis lembu baka kacukan seperti Indulbrazil turut menjadi pilihan," katanya ketika ditemui pemberita di ladang lembu miliknya di Bukit Tuku, di sini hari ini.

Abdul Hakki memberitahu, kebanyakan lembu-lembu yang dijual untuk Hari Raya Aidiladha mempunyai 'lesen' dan permit sah dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan.

Katanya, kesemua lembu-lembu yang dijual cukup umur bagi tujuan ibadah korban nanti.

"Jadi para pembeli tidak perlu risau kerana lembu-lembu ini semuanya sihat dan cukup syarat sebagaimana ditetapkan oleh syarak," ujarnya.

Abdul Hakki berkata, selain untuk ibadah korban, dia turut membekalkan lembu-lembu untuk bekalan daging ke seluruh negara mengikut permintaan.

Katanya, penduduk di negeri ini pula lebih menggemari baka kacukan Kelantan-Kedah untuk dijadikan sebagai binatang korban.

Abdul Hakki berkata, baka itu menjadi pilihan disebabkan oleh faktor harganya yang murah dan berpatutan antara RM3,000 hingga RM3,500. - K! ONLINE