Lembu seberat 300 kilogram (kg) itu diselamatkan pukul 1.59 petang di dalam longkang sedalam 1.2 meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, seramai lima anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.29 petang.

Katanya, operasi turut dibantu tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya.

“Kita mengambil masa 30 minit bagi mengeluarkan lembu itu menggunakan hos bomba.

“Lembu itu dipercayai mungkin tersesat sebelum jatuh di dalam longkang tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas beliau, haiwan itu kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya. - K! ONLINE