Bayangkan, semua sektor pekerjaan di sana didominasi oleh kaum lelaki termasuk kedai menjual pakaian wanita! Secara jelas ia menunjukkan golongan Adam lebih signifikan dan diutamakan.


Seorang kenalan saya yang bekerja di Arab Saudi lebih 10 tahun pernah memberitahu saya dengan nada sinis bahawa wanita di sana umpama ‘permaisuri’. 


“Wanita di Arab Saudi tak macam wanita di Malaysia yang kena pergi kerja bantu keluarga. Semuanya tanggungjawab lelaki. Namun, sebenarnya, wanita di sana tak selesa dengan semua itu, mereka mahu menjadi wanita seperti negara lain yang menikmati lebih kebebasan,” dakwanya. 


Pada awalnya, saya tidak ambil kisah dengan apa yang dikatakannya. Namun, apabila Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengeluarkan dekri diraja yang membenarkan wanita memandu kereta termasuk motosikal dan trak setelah 86 tahun menyekat hak itu, saya baru sedar bahawa betapa wanita Arab Saudi ‘dikongkong’ sejak zaman-berzaman. Terbaharu, buat pertama kalinya wanita Arab Saudi dibenarkan menonton acara sukan di stadium.


Semua itu merupakan perubahan berskala besar. Pemerhati berpendapat, ia bukti trend progresif sedang berkembang di negara Islam yang sangat konservatif di dunia itu. Pengumuman terkini itu juga disifatkan berjaya memecah tembok ‘diskriminasi’ terhadap wanita. 


Berdasarkan laporan media antarabangsa, apabila wanita Arab Saudi dibolehkan memandu, ia telah menjimatkan kira-kira RM42 bilion setahun kerana mereka tidak perlu menggaji pemandu. Selain itu, le­bih setengah juta peluang pekerjaan dalam industri peruncitan dapat ditawarkan. Pihak perkhidmatan Uber di Arab Saudi juga dikatakan mahu mengambil lebih 100,000 pemandu wanita.


Tidak hanya itu, pengeluar automotif seperti Ford, Volkswagen, Toyota, Nissan dan Lexus memperoleh banyak manfaat. Mereka berlumba-lumba melobi jenama masing-masing kepada kira-kira sembilan juta wanita Arab Saudi.
Penganalisis turut berpendapat di bawah pemerintahan Raja Salman dan anaknya, Putera Mohammed, 31, Arab Saudi mahu nampak lebih moden dan tidak mahu dilabel sebagai konservatif. Negara itu telah melakukan anjakan paradigma yang serius dalam Visi 2030 yang turut menyentuh hak saksama wanita.


Pemerintah bukan sahaja mahu memodenkan dan memberi kesaksamaan malah turut menyasarkan 30 peratus penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan. Itu dikira sudah baik. Namun, sebenarnya banyak lagi yang wanita di sana tidak boleh lakukan seperti wanita di Malaysia. Jika kita pada bila-bila masa boleh membuka akaun bank sendiri, ia sukar bagi wanita Arab Saudi kerana perlu mendapatkan kebenaran lelaki. Mahu berkahwin pun, mereka perlu mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri negara itu. 


Pun begitu, setidak-tidaknya usaha Raja Salman yang ‘meruntuhkan’ beberapa sekatan yang bersifat tradisi terhadap wanita mampu menjadikan kaum Hawa di sana lebih berdaya saing pada masa akan datang. 
Dengan kata lain, hak wanita negara itu bukan sahaja dinaik taraf malah setanding dengan wanita di negara-negara lain. Walaupun demikian, diharapkan dengan secebis kebebasan yang diberikan, wanita Arab Saudi tidak keterlaluan dan masih menjaga batas sebagai seorang Islam.