Ramasamy yang juga pengerusi lembaga itu berkata, cadangan itu adalah selaras dengan janji manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 yang lepas untuk mewujudkan Lembaga Wakaf Hindu di negeri-negeri lain.

"Kami akan mengadakan mesyuarat pertama bagi pesuruhjaya-pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang yang baharu pada Jumaat ini.

"Ada beberapa isu yang perlu dibincangkan. Apa yang mencabar ialah bagaimana kita melaksanakan janji manifesto ini. Buat masa ini satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana kita akan melaksanakan Lembaga Wakaf Hindu di negeri-negeri. Perkara ini masih belum dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menyerahkan surat lantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bagi penggal 2018/2019 yang menyaksikan Ramasamy kekal sebagai pengerusi.

Ramasamy berkata pihaknya merancang untuk memperluaskan Lembaga Wakaf Hindu di negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan (amp) Perbandaran dan Pembangunan Luar Bandar negeri Jagdeep Singh Deo yang turut hadir pada sidang media itu berkata tempoh tawaran bagi 'Request For Proposal' (RFP) sistem tempat letak kereta secara pintar akan dilanjutkan sehingga 3 September.

Beliau berkata lanjutan itu dibuat setelah pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan dan sehingga semalam sebanyak 98 buah syarikat telah membuat pembelian  dokumen RFP itu.

"Ini bagi memastikan dokumen RFP yang dikemukakan nanti adalah berkualiti dan berupaya menepati kehendak dan objektif kerajaan negeri untuk melaksanakan sistem pengurusan tempat letak kereta yang terbaik di Pulau Pinang," katanya. - Bernama