Dalam kejadian kira-kira pada pukul 1.15 pagi itu, suspek berusia 25 tahun tersebut dipercayai memecahkan patung-patung berkenaan menggunakan sepana.

Difahamkan, kejadian tersebut disedari penghuni pangsapuri berhampiran sebelum penjaga kuil dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada pihak kuil pada pukul 1.50 pagi.

"Susulan laporan tersebut, polis dengan bantuan penduduk tempatan berjaya menahan suspek yang sedang berbaring di atas padang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Sepana yang digunakan suspek untuk merosakkan patung kuil turut dirampas di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hong Shuan, hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek dipercayai kurang siuman dan tidak bekerja itu menunjukkan dia positif dadah.

"Suspek kini ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 295, 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

"Polis juga menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis berkaitan kes tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi kuil, M. S. Thanabalan berkata, pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM80,000 apabila semua 15 patung yang dibeli dari luar negara itu dirosakkan.

Katanya, kejadian tersebut merupakan kali pertama berlaku di kuil berkenaan sejak ia digunakan lebih 90 tahun lalu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia NGO dan Pembangunan Koperasi negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, kerajaan negeri Perak akan membincangkan mengenai bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak kuil.

"Kerajaan negeri komited untuk memastikan keharmonian kaum di negeri ini terpelihara dan menolak sebarang bentuk keganasan serta provokasi antara kaum dan agama," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. - K! ONLINE