Kebakaran yang berlaku pada pukul 3.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Oi Hock Chuan, 63, maut di ruang tamu rumah teres dua tingkat tersebut.

Difahamkan, mangsa merupakan peniaga barangan lusuh di Pasar Karat di sini itu tinggal bersendirian di rumah tersebut sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Nashuha Fahd Ahmad Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 4.15 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di tempat kejadian, api telah membakar rumah berkenaan kira-kira 60 peratus.

“Anggota menghadapi kesukaran untuk memadamkan api berikutan tekanan air yang rendah di kawasan itu ditambah pula timbunan barangan lusuh mudah terbakar di tingkat bawah rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Nashuha, selepas api berjaya dipadamkan, anggota menemui mayat mangsa di ruang tamu rumah berkenaan.

“Anggota dimaklumkan mangsa sedar ketika kebakaran berlaku namun dia dipercayai cuba menyelamatkan barangnya di dalam rumah menyebabkan dia terperangkap.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.39 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut mengenai punca kejadian sedang dijalankan,” katanya. - K! ONLINE