Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.25 pagi dan seramai lima anggota bersama sebuah jentera serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kereta tersebut yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke persimpangan bertingkat Taman Impian Emas telah melanggar pembahagi jalan, terbalik lalu terbakar," katanya yang dihubungi hari ini.

Mohd. Riduan berkata, ketika pihak bomba tiba pada 8.35 pagi, mangsa, M.Ashok Kumar, 32, beralamat di Kajang, Selangor, sudah dikeluarkan dari kenderaan itu oleh dua orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Difahamkan, Ashok Kumar mengalami kecederaan dan dia dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk rawatan.

Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran terbabit tamat pada pukul 9.07 pagi. - Bernama