Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, pasangan kekasih tersebut didapati sedang leka menghisap dadah jenis syabu.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu bertindak melarikan diri melalui pintu belakang 
rumah manakala teman wanitanya berusia 23 tahun berjaya ditahan.

"Wanita itu kemudian dibawa ke pejabat AADK Daerah Yan dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, dalam operasi sama yang bermula pada pukul 9.30 pagi semalam dan berakhir hampir 10 jam kemudian itu turut menahan 16 lagi individu terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita.

"Serbuan dilakukan di tujuh buah kampung dalam daerah Yan iaitu Kampung Selengkoh, Kampung Sungai Udang, Kampung Raga, Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Kampung Sungai Limau dan Kampung Kabu 10," ujarnya.

Menurut Mohamad, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun itu didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. - K! ONLINE