Mayat Md. Rashid Md. Jizan, 52, ditemui kira-kira pukul 12.40 tengah malam di kedudukan 1 Batu Nautika di antara Pulau besar dan Pulau Dodol di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, laporan mengenai kehilangan mangsa diterima pada pukul 10.45 pagi pada hari kejadian dan bot bertugas Petir 91 diarahkan ke lokasi.

"Difahamkan, mangsa hilang selepas keluar memancing bersama lima rakan menaiki bot berasingan dan kali terakhir dilihat di kedudukan lebih kurang 1 batu nautika utara Pulau Besar.

"Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan, namun mayat mangsa hanya ditemui pada 12.40 tengah malam tadi pada kedudukan jarak 1.4 batu nautika dari lokasi dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pengecaman mayat dilakukan oleh anak mangsa berdasarkan pakaian terakhir yang dipakainya dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. - K! ONLINE