Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa berusia 30-an cedera pada bahagian kepala dan badan namun, masih sedar.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N.Sundarum berkata, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.59 petang.

"Sebaik tiba, anggota mendapati mangsa lelaki warga Indonesia tersepit separuh badan hingga bahagian kaki di bawah tayar jengkaut. Jentera berat itu terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter di kawasan hutan kira-kira dua kilometer dari jalan utama.

"Mangsa yang masih sedar berjaya dikeluarkan dalam tempoh 30 minit dan segera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi. - K! ONLINE