Hukuman itu dibuat oleh Majistret Mohd. Firdaus Saleh selepas tertuduh, Muhamad Sahrizal Ismail, 35, mengaku salah atas pertuduhan tersebut.

Mohd. Firdaus memerintahkan hukuman tersebut berjalan bermula hari ini. 

Tertuduh yang kini menjalani hukuman penjara berkaitan kes tipu didakwa menyembunyikan harta yang diperoleh secara tidak jujur iaitu wang tunai RM20,000 melalui akaun CIMB Bank milik Muhammad Yusri Mahat, 46, pada pukul 11.40 pagi, 27 Mac 2017. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda. 

Mengikut fakta kes, pengadu menerima panggilan palsu yang mendakwa pegawai dari Affin Bank memberitahu satu akaun bank baharu telah dibuka di atas namanya di Pulau Pinang dan mempunyai transaksi pemindahan wang dari akaun terbabit berjumlah RM12,000 ke akaun individu bernama Lim Seng Siang. 

Pengadu turut dimaklumkan bahawa lelaki Cina itu merupakan pengedar dadah dan bersubahat atas kesalahan pemindahan wang haram. Dia kemudian dihubungi oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan memintanya untuk memindahkan kesemua wang ke dalam akaun juruaudit di Putrajaya bagi tujuan siasatan. 

Pada 27 Mac 2017, pengadu membuat pemindahan ke akaun penama Muhamad Sahrizal Ismail sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Malim di sini. - K! ONLINE