Mangsa, lelaki berusia 48 tahun mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas tertarik dengan iklan pelaburan yang ditawarkan di aplikasi sosial WeChat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa teruja dengan tawaran tersebut yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

"Mangsa telah menghubungi nombor telefon yang diberikan dan bercakap dengan sorang wanita kononnya dari Hong Kong yang mendakwa dia adalah ajen sebuah syarikat pelaburan.

"Lelaki itu menyatakan persetujuan untuk melabur sebanyak RM146,876.20 sebelum dipengaruhi untuk melabur sebanyak RM181,209.35 dan dijanjikan mendapat pulangan dalam masa dua bulan bersama modal," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang teruja dengan tawaran itu telah membuat sebanyak 22 transaksi pindahan deposit tunai di bank sekitar Butterworth di sini.

"Biarpun telah memindahkan wang berjumlah RM181,209.35 ke dalam dua akaun bank tempatan seperti persetujuan asalanya, dia berterusan masih dihasut untuk menambah lagi nilai pelaburan.

"Mangsa akhirnya menyedari dia ditipu selepas pelbagai alasan diberikan oleh ejen itu apabila bertanyakan berhubung pulangan pelaburannya," katanya lagi.

Noorzainy berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE