Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang di rumah teres dua tingkat itu, mangsa yang maut di kenali sebagai S.Krishnan, 55, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan lima tahun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Fauzan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 6.05 petang sebelum dua jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian pihak bomba mendapati kebakaran itu telahpun memusnahkan sepenuhnya bahagian tingkat atas rumah terbabit.

"Semasa kejadian, terdapat empat orang (anggota keluarga) di dalam rumah tersebut termasuk mangsa yang berada di tingkat atas.

Tiga daripadanya iaitu isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan mangsa berada di bahagian bawah rumah dan tidak perasan mengenai kebakaran sehinggalah ada jiran menjerit kerana ternampak asap keluar dari bahagian belakang rumah. - Bernama