Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Batu Caves, Selangor.

“Suspek telah dikenal pasti melalui telefon bimbit rakannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tujuan merakam percakapan dan dokumentasi.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku menumbuk pemuda tersebut kerana perebutan giliran barisan untuk mendapatkan kasut berkenaan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Kosmo! hari ini melaporkan, kejadian pada pukul 6 pagi Sabtu lalu berlaku selepas mangsa yang dikenali sebagai Faiz Hariz menegur seorang lelaki yang memotong barisan ketika beratur untuk membeli kasut edisi terhad bernilai RM1,150 tersebut.

Akibat teguran itu, suspek yang datang secara berkumpulan mengamuk sebelum bertindak menumbuk mangsa berusia 22 tahun sehinggakan tulang hidung mangsa patah selain lebam mata kiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323/351 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE