Along Pandak, 47, dilaporkan mengalami sakit asma sehingga badannya lemah dan tidak bermaya.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, lelaki itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

Katanya, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang pada pukul 12.50 tengah hari selepas menerima maklumat pesakit daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Kami tiba dengan pesawat Agusta Westland 139 di Pos Bihai kira-kira pukul 1.37 petang dan  telah mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 2.04 petang.

“Selepas itu, mangsa dihantar ke hospital menggunakan menggunakan ambulans JBPM. Lelaki yang tidak sedarkan diri itu turut diiringi oleh isterinya, Ajah Busu, 41,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba I, Faizal Izani Azizan dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Penguasa Bomba, Mohamad Muizz Md. Pissar serta dibantu tiga lagi anggota.

Katanya, Pos Bihai merupakan sebuah penempatan pedalaman dan sukar dihubungkan dengan kenderaan biasa kerana jalan balak rosak akibat hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan keluarga sukar membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital.

“Kita sentiasa bersedia membantu masyarakat Orang Asli yang memerlukan pengangkutan bantuan udara.

“Ini merupakan penerbangan ke-21 bagi kes Medevac yang kita laksanakan bagi membantu pesakit Orang Asli di Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Ajah berkata, suaminya itu sudah sakit asma teruk sejak tiga hari lalu.

Katanya, sakit suaminya kritikal semalam apabila mengalami kesukaran bernafas sehingga tidak sedarkan diri.

“Saya berterima kasih kepada pihak Unit Udara JBPM yang membantu suami. Ketika ini kesihatannya sudah stabil dan masih dirawat di hospital,” katanya. - K! ONLINE