Mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pada pukul 2.09 pagi tadi.

"Mangsa yang juga pekerja di kilang pembuatan sarung tangan dipercayai bergaduh dengan seorang lagi pekerja di kilang itu.

“Suspek dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum mengangkat dan mencampak mangsa dari koridor di tingkat tiga hostel tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Muhammad Hanif, insiden itu menyebabkan mangsa cedera parah dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Jelasnya, suspek yang juga warganegara Nepal dan tinggal di hostel sama bertindak melarikan diri selepas kejadian itu.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dekat sini untuk bedah siasat.

“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes tersebut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE