Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa yang tidak dapat dikenalpasti identitinya disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu traktor itu sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kebun kelapa sawit.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, traktor yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam kolam ikan yang mempunyai kedalaman 1.5 meter.

“Kemalangan itu menyebabkan kepala mangsa terhentak pada traktor sebelum kenderaan tersebut menindihnya sewaktu dia jatuh ke dalam kolam.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Menurut Wan Azharuddin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah di sini untuk dibedah siasat.

Tambahnya, tiada sebarang tangkapan dijalankan untuk membantu siasatan kemalangan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE