Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat dipercayai mangsa bunuh itu kira-kira pukul 2.44 petang tadi.

"Polis yang pergi ke lokasi kejadian menemui mayat seorang lelaki warga asing disyaki Myanmar terbaring di bahagian dapur kedai dengan kesan kelar pada leher," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, sebilah pisau pemotong daging dengan kesan darah ditemui di tepi kipas di ruang dalam hadapan kedai.

"Kita percaya pisau pemotong daging itu digunakan dalam kejadian tersebut," ujarnya.

Menurut Adzli, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam kejadian bunuh itu di Stesen Bas Sungai Petani kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

"Suspek berusia lingkungan 30-an itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," tambahnya. - K! ONLINE