Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kira-kira pukul 4.55 petang, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Selayang memaklumkan seorang lelaki warganegara Myanmar didapati terbaring berhampiran dengan sebuah sekolah di Taman Sri Gombak di sini.

“Pasukan perubatan Hospital Selayang mengesahkan mangsa, Mohammed Rashid telah meninggal dunia di lokasinya ditemui dan berada dalam keadaan meniarap serta basah akibat hujan di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa yang lengkap berpakaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsor menambah, tiada sebarang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tersebut dan juga tiada kesan berunsurkan jenayah.

“Punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti dan telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. - K! ONLINE