Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, pemandu Perodua Viva, Mohd. Yusof Manah, 56, dari Kampung Tekong Budu, Benta disahkan maut di lokasi nahas akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd. Noor berkata, kereta dipandu Mohd. Yusof dari arah Jerantut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Lori tiga tan dipandu lelaki berusia 43 tahun tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung di selekoh.

"Kereta Perodua Viva remuk teruk di bahagian hadapan menyebabkan pemandunya tersepit dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan," ujarnya. - K! ONLINE