Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.50 petang itu, mangsa, Mohamad Kamil Mohamed, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena arus bervoltan tinggi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan rakan sekerjanya telah memulakan kerja-kerja penggantian tiang lampu di kawasan itu sejak Selasa lalu.

“Ketika melakukan kerja-kerja tersebut, mangsa yang sedang memasang wayar tiang lampu dengan tiba-tiba terkena arus elektrik.

“Empat rakan mangsa yang turut berada di lokasi berhampiran tempat kejadian bagaimanapun tidak sempat untuk menyelamatkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Hasron Nazri, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Malim Nawar yang hadir ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa pula tidak menjumpai sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat dan hasilnya mangsa meninggal disebabkan renjatan elektrik,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE