Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Januar Hamid, 45, maut di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada tengkuk dan tulang belakang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Mohd. Fauzi Shamir berkata, semasa kejadian, mangsa memanjat pokok itu untuk mengambil petai bersama seorang rakannya.

"Menurut rakan mangsa, Januar yang beralamat di Setapak pulang bercuti hujung minggu di kampung dan mengajaknya mengambil petai di hutan itu pagi ini.

"Mereka terjumpa sebatang pokok petai dan mangsa memanjat pokok itu, manakala rakannya tunggu di bawah. Mangsa terjatuh selepas tangannya terlepas dahan yang dipaut semasa sedang memanjat pokok tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, rakan mangsa kemudian bergegas meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak bomba dan Hospital Kuala Pilah sejuruh kejadian itu menimpa mangsa.

Kata beliau, seramai tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan selepas menerima maklumat pada pukul 9.11 pagi.

Jelas beliau, anggota bomba terlibat terpaksa berjalan kaki hampir satu kilometer (km) untuk tiba ke lokasi mangsa di dalam hutan tersebut.

"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia apabila kami tiba di tempat kejadian. Mayatnya dihantar oleh pihak polis ke Hospital Kuala Pilah," katanya. - K! ONLINE