Ketua JabatanSiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi sewaktu mangsa B. Ragunath, 24, yang memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis bersama tiga lagi wanita berusia 19, 25, dan 39 tahun sedang dalam perjalanan menuju ke Jalan Gombak.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar tiang papan tanda yang berada di bahagian kiri jalan tiga lorong tersebut sebelum merempuh sebatang pokok.

"Susulan kemalangan itu, Ragunath yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkefly, dua daripada tiga penumpang wanita yang berada di dalam kereta tersebut turut mengalami kecederaan parah pada kepala dan kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan siasatan berhubung kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelas beliau. - K! ONLINE