Mangsa, Mohd ‘Al-Hazaari Othman, 51, yang beralamat di Taman Kuala Kangsar, Kuala Kangsar ditemui terapung kira-kira 30 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol, berkata mangsa ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada pukul 7 pagi tadi melibatkan  seramai 10 anggota. Pihak kami menjalankan kaedah secara pencarian di permukaan dan menemui mangsa yang terapung pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut Zaki, operasi tersebut turut melibatkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Difahamkan, mangsa dipercayai datang ke kawasan itu pada pukul 10 pagi semalam bersama seorang rakannya yang menjala ikan sebelum rakannya itu menyedari kehilangannya.

Bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.43 petang menjalankan gerakan SAR sebelum operasi dihentikan pada 7.30 malam semalam dan kemudian disambung semula pagi tadi. - K! ONLINE