Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang itu, Mohd. Yusoff Hamat, 56, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Yusoff yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 telah merempuh belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di tepi lebuh raya.

"Kereta dipandu seorang wanita berusia 29 tahun yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Pasir Mas, Kelantan itu dikatakan mengalami kerosakan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, pegawai perubatan yang tergegas ke lokasi kejadian mengesahkan Mohd. Yusoff telah meninggal dunia sebelum mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE