Dalam kejadian pada pukul 5.10 pagi itu, mangsa, Cheong Chee Meng, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku sewaktu pemandu treler yang berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan dari Chemor menuju ke Simpang Pulai.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, dia memberhentikan kenderaannya apabila lampu isyarat di kawasan tersebut bertukar merah.

"Mangsa memandu kereta jenis Proton Wira secara tiba-tiba telah merempuh treler tersebut dari arah belakang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Mohd. Ali, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE