Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa Mohd Ridhwan Abu Bakar, 33, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta berusia 23 tahun mengalami kecederaan.

"Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang tadi menyaksikan kereta jenis Proton Wira yang menghala ke Jertih bertembung dengan bas henti-henti yang menghala ke Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mustafa berkata, sejurus pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.31 petang, satu jentera bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian, katanya.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pemandu kereta yang cedera dihantar ke Hospital Setiu.

Pemandu bas iaitu seorang lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan dan semasa kejadian tiada penumpang di dalam bas berkenaan. - Bernama