Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, Mat Radzi Mat Isa, 40, yang bekerja sendiri, dipercayai terjatuh dari ketinggian 9.1 meter berdasarkan kesan patah pada pokok itu. 

"Seorang penduduk menemui mayat mangsa di bawah pokok bersama-sama beberapa biji cempedak yang berselerak pada pukul 2.30 petang semalam.

"Adik mangsa juga mengesahkan sepasang selipar yang ditinggalkan di bawah pokok itu kepunyaan abangnya," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri menambah adik mangsa memaklumkan abangnya yang sudah bercerai tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 10 pagi, Isnin lalu. 

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Jengka malam semalam, mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan pada dada akibat jatuh dari tempat tinggi. 

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Bernama