Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.46 pagi daripada seorang lelaki yang bertugas melakukan rondaan di landasan keretapi, yang memberitahu terjumpa bahagian kaki manusia di kawasan itu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di kawasan terowong landasan kereta api Taman Keladi, melibatkan seorang lelaki yang dikenali sebagai K.Poobalan, 27, yang dipercayai dilanggar kereta api yang mengakibatkan anggota badannya terputus kepada empat bahagian.

Menurutnya anggota badan pertama yang ditemui ialah kaki kanan, yang dijumpai kira-kira 200 meter di arah utara landasan menghala ke Alor Setar.

"Bahagian-bahagian lain iaitu kepala, kaki kiri, dan perut dijumpai 350 meter arah selatan menuju ke Butterworth manakala serpihan otak, perut, tempurung kepala dan isi badan yang lain ditemui berselerak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. - Bernama