Suspek berusia 36 tahun yang lumpuh sebelah kanan badan akibat kemalangan motosikal pada 2007 ditahan bersama sejumlah dadah jenis heroin dan syabu kira-kira pukul 1.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang bertindak menyerbu sebuah rumah di Bukit Choras Dalam.

"Pasukan polis masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci itu dan ternampak seorang lelaki sedang duduk di atas katil di dalam sebuah bilik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan di atas katil menemui sebuah beg yang didapati mengandungi dua peket plastik lutsinar dan 18 keratan straw lutsinar disyaki berisi heroin.

"Kita turut menemui tiga peket plastik lutsinar dan satu keratan straw lutsinar disyaki berisi syabu selain alat penimbang digital dan peket plastik lutsinar kosong," ujarnya.

Menurut Arriz Sham, dadah yang dirampas melibatkan heroin dianggarkan seberat 22.1 gram bernilai kira-kira RM670 dan syabu seberat kira-kira 1.7 gram bernilai RM225.

"Dadah ini disyaki untuk diedarkan kepada penagih dadah dan suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak hampir dua bulan lalu," jelasnya.

Tambahnya, suspek didapati positif morfin serta mempunyai dua rekod kesalahan dadah.

"Lelaki OKU yang masih bujang dan tidak bekerja itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - K! ONLINE