Ketua Polis Daerah Muallim, Superitendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 40 tahun itu bertindak membakar rumah tersebut sehingga hampir keseluruhannya hangus kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Jelasnya, berdasarkan keterangan saksi awal kejadian, suspek didapati membawa parang dalam keadaan mengamuk dan memecahkan cermin tingkap, membakar rumah itu sebelum bertindak melarikan diri.

“Pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran itu kira-kira satu jam kemudian namun, hampir keseluruhan rumah tersebut telah hangus terbakar.

“Hasil rakaman pengadu yang juga abang suspek mengatakan bahawa rumah tersebut telah ditinggalkan oleh penyewa kira-kira dua minggu lalu selepas suspek membawa parang ke rumah itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Wan Kamarul Azran, tiada kemalangan jiwa dilaporkan ekoran daripada kebakaran itu dan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM80,000 hingga RM100,000.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, jelasnya, abang suspek juga memaklumkan bahawa lelaki itu kurang siuman dan gemar bercakap seorang diri seperti berhalusinasi.

Ujarnya, suspek juga sering mengamuk dengan membawa parang dan mengatakan mempunyai kawan yang selalu bersamanya. 

“Hasil siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan membakar rumah ibunya dengan mengunakan kain buruk dan pemetik api. 

“Selain itu, suspek juga merupakan seorang penagih dadah dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api. - K! ONLINE